Semua orang boleh buat rekabentuk 3d sendiri. Jom Belajar

tempah sekarang

tempah sekarang

Google+ Followers

Saturday, 19 October 2013

Hiasan Dalaman Teres Dua Tingkat


Perkhidmatan Rekabentuk 3D Online

TEMPAHAN REKABENTUK DARI TUAN RUMAH

Alhamdulillah saya baru sahaja menyiapkan rekabentuk hiasan kediaman rumah seorang pelanggan yang merupakan sahabat di Facebook peribadi Nisa Nua yang membuat tempahan rekabentuk melalui page FB rekabentuk saya iaitu 3D LOOK . Semasa mula -mula dapat pelan dari si tuan rumah melalui email, saya mengambil masa beberapa hari untuk berfikir tentang dekorasi yang terbaik buat kediaman milik tuan rumah ini. Kediaman yang dimiliki agak bersaiz comel namun ruang yang ada sememangnya menarik untuk direkabentuk dengan konsep pelan terbuka. Ini selaras dengan permintaan dari tuan rumah selepas menjawab soalan analisa dari saya tentang jenis bagaimanakah konsep kediaman yang diminati dan diperlukan dalam aktiviti dan kehidupan tuan rumah bersama seisi keluarga.

PELAN TERBUKA & KONSEP MODERN MINIMALIST

Pemilik kediaman ini masih muda dan belum mencecah 30an. Pastinya ketika usia sebegini, rekabentuk hiasan kediaman bercirikan konsep modern minimalis menjadi pilihan utama. Jadi saya selaku yang bertanggungjawab untuk melaksanakan rekabentuk hiasan dalam kediaman milik sahabat ini, perancangan susun atur perabot di lakukan dengan sangat teliti agar ruang tidak nampak sempit dan yang paling penting setiap inci ruang di manfaatkan.



Pada entry ini saya akan berkongsi sedikit tentang idea rekabentuk ruang bawah yang berkonsepkan ruang terbuka untuk kediaman ini. Bermula dari pintu masuk tetamu akan dapat melihat keseluruhan ruang di bahagian bawah ini di mana pandangan terus ke dapur tanpa sekatan. Untuk membuat dinding sekatan pula, ruang akan nampak lebih sempit. Jadi saya membuat beberapa pendekatan bagi mengelakkan ruang nampak sempit dengan cara menjadikan setiap ruang berguna dan berfungsi dengan aktif.

RUANG LOBI DAN SUDUT GALERI

Bermula dari pintu masuk utama, di sudut ruang tangga, saya letakkan sebuah bangku panjang untuk di duduki oleh tetamu yang kurang rapat. Tetamu ini akan duduk sebentar di sini sementara menunggu tuan rumah bersiap atau sementara menunggu tuan rumah menjemputnya untuk duduk ke ruang tamu. Di sini juga sebagai ruang rehat selepas makan di meja makan. Bagi penghuni rumah, ruang ini boleh digunakan sebagai ruang rehat dan membaca majalah serta membelek album-album keluarga. Ini bererti ruang yang kecil masih boleh dimanfaatkan. Jika dibiarkan kosong, ruang ini dipanggil negatif space. iaitu ruang yang tidak dimanfaatkan/tidak digunakan. Kalau boleh, dikediaman, pastikan setiap ruang dimanfaatkan sebaiknya ya :)

Gambar : Ruang Lobi dan ruang galeri 


RUANG TAMU DAN RUANG MENONTON

Gambar : Ruang Tamu digabungkan dengan ruang menonton
Ruang TV dan ruang tamu digabungkan bagi menjimatkan ruang. Dalam satu ruang kita bole adakan pelbagai aktiviti terutamanya seperti di ruang ini. 2 jenis kerusi digabungkan agar lebih ceria dan nampak lebih luas berbanding menggunakan 1 jenis kerusi di mana semua nampak sama , bosan dan sempit. Boleh dipadankan sama ada dengan kerusi santai di depan pintu sliding kaca yang mengadap taman atau menggunakan 2 buah kerusi single yang boleh diubah posisi dan boleh di alihkan bagi tujuan aktiviti yang berlainan. Susunan di option 1 adalah susunan untuk tuan rumah yang sering menerima kunjungan tetamu di mana susunan kerusi berbentuk U bagi tujuan berborak dan berbincang dengan memandang muka satu sama lain. 

Bagi option 2 pula, sofa berbentuk L dan kerusi bangku digunakan untuk keselesaan seisi keluarga di mana sofa L selesa untuk bersantai menonton TV dan berbaring. Manakal kerusi bangku panjang pula untuk menghayati suasana 2 hala, di dalam rumah dan di luar rumah. Konsep sebegini lebih santai. Pokok hidup sesuai diletakkan di penjuru rumah mengadap pintu kaca untuk menerima cahaya matahari. Bagi menaikkan susana dan nampak lebih kemas, kabinet TV di pasang dan di letakkan cermin gelap di sisi kiri dan kanan kabinet. Di dinding belakang sofa pula diletakkan lukisan yang diminati oleh tuan rumah seisi keluarga. Lampu berdiri yang boleh dilentur pula digunakan di malam hari bagi pencahaya buat tuan rumah bagi sekiranya ingin membaca majalah atau buku di sini. 


RUANG MAKAN , BAR, DAN RUANG DAPUR


Gambar : ruang makan, meja bar dan ruang dapur
Oleh kerana kediaman ini adalah rumah tepi dan ada bukaan dinding menuju ke taman, ruang makan menjadi ruang yang sangat mencabar dan menjadi island di dalam rumah. Di mana penghuni dan pengunjung perlu melalui di tepi meja makan ini sebelum ke dapur atau ke ruang tamu. Oleh itu, bagi mengelakkan laluan yang sempit, saya menasihatkan tuan rumah untuk membeli meja makan 4 seat atau 6 seat sahaja. Dan jangan lupa, bagi menaikkan mood di meja makan, letakkan pasu kaca berbunga di atasnya.

Bagi menampakkan pembahagian ruang yang lebih kemas, 3 panel kayu di bina sebagai membahasakan laluan ke dapur adalah peribadi dan ia juga menghala ke bilik bawah iaitu bilik tetamu. Meja bar di bina dan memuatkan 2 stool bar bagi tujuan sarapan pagi dan membuat kerja melalui gadget (laptop, ipad, hp, etc) di meja bar sahaja tanpa perlu menyepahkan ruang yang lain. Lebih-lebih lagi apabila telah dapat panggilan , bakal terima kunjungan tetamu sebentar lagi. Meja bar dijadikan sebagai ruang kecil untuk membuat kerja dan makan tanpa perlu menyentuh ruang lain. Menarik bukan? Masih ramai yang tertanya apa keperluan melangkapkan rumah dengan meja bar? Nah, ini saya sudah jawap. Harap dapat membantu pembaca sekalian yang masih sedang berkira-kira dalam menata rias kediaman masing-masing :)

BILIK BUJANG

Pemilik kediaman ini memaklumkan bahawa bilik bujang di kediaman mereka ini akan dihuni oleh adik ipar sekali sekala bila pulang dari kolej. Jadi rekaan hiasan dalaman yang dibuat memuatkan aktiviti seorang bujang yang sedang belajar di dalam bilik ini. Bilik ini direka juga sebagai bilik belajar dan bilik kerja sekiranya ia tidak dihuni oleh sesiapa. Day Bed Dipilih sebagai pelengkap ruang apabila kepenatan dan memerlukan badan untuk rehat sebentar. Cadangan pembinaan perabot siap pasang adalah seperti almari pakaian yang dibina bersama dengan meja belajar dan rak buku.
Gambar: Bilik Kedua Yang Sesuai untu dimuatkan katil Single

Bilik anak
Gambar: Bilik anak kecil yang berusia 4 tahun
Bilik anak ini bentuknya agak kecil dan memanjang. Oleh itu, ia sesuai untuk diletakkan Day Bed yang boleh di slide di bahagian bawahnya. Warna dinding yang ceria digunakan untuk memberikan keceriaan di bilik anak kecil. Bagi menjadikan ruang yang kecil lebih selesa dan kemas, almari disediakan untuk pakaian dan juga disediakan juga almari buku dan permainan. Penting untuk memastikan bilik ini sentiasa berkemas kerana ruang yang kecil jika ia bersepah ia akan kelihatan sempit.


Ruang Keluarga

Gambar: Ruang keluarga di tingkat atas
Di ruang atas dijadikan tempat bersantai untuk keluarga. IA memuatkan sofa dan kabinet televisyen. Ruang ini sesuai untuk dijadikan tempat bersantai keluarga walau tetamu sedang ada di tingkat bawah rumah. Aktiviti keluarga masih mendapat hak "privacy" dengan ada nya ruang ini. Oleh kerana ruang yang ada agak minimum, perabot dan perhiasan juga disusun dengan minimum. Langsir digantung lebih tinggi dari paras tingkap untuk mendapatkan kesan yang dramatik.

Bilik Tetamu
Gambar: Bilik bawah untuk bilik tetamu terutamanya buat orang tua yang datang berkunjung ke rumah
Bilik ini ditingkat bawah bersebelahan dengan dapur. Bilik ini dijadikan bilik tetamu dan ia juga merupakan bilik untuk ibu mertua pemilik rumah ini untuk tinggal bersama. Saiz bilik sekadar memuatkan sebuah katil Queen Saiz. Bai menaikkan suasana bagi penghuni bilik ini, wallpaper bewarna ceria dan klasik di lekatkan pada dinding di belakang katil yang juga merupakan dinding fokus utama bagi bilik ini. Oleh kerana bilik ini agak kecil, rak-rak dicadangkan dibina di dinding bagi melatkkan barang hiasan dan keperluan seperti buku, Al-Quran, bingkai gambar, pasu dan sebagainya. Bagi dinding yang tersembunyi iaitu dinding disebalik pintu, dilekatkan cermin gantung dan rak untuk meletakkan barangan persiapan diri.

Bilik Tidur Utama


Gambar: Bilik master digabungkan dengan meja study dan ruang menukar pakaian
Bagi bilik tidur utama pula saya mengetengahkan gaya modern yang cozy di mana pemilihan warna terdiri daripada warna dark turquoise dan light brown. Penggunaan kepala katil yang berbingkai dan bercorak menaikkan lagi suasana romantik dan indah. Di atas kepala katil, dihiasi dengan box lamina kayu sebagai pelengkap. Bertentangan dengan dinding ini, disediakan meja bersiap dan boleh digunakan juga sebagai meja kerja. Ia turut dilengkapi dengan almari menyimpan peralatan persiapan diri. Bersebelahan dengan bilik air di bilik tidur utama ini dibina pula walk in wordrobe dan digantungkan cermin panjang bersebelahan pintu masuk untuk pemilik bersiap dengan mudah.

Balkoni Dalam


Gambar: Balcony dalam rumah yang kecil dimanfaatkan sebagai ruang galery gambar keluarga dan ruang membaca sambil bersila
Dipermulaan bahagian atas, terdapat sebuah balkoni yang terhasil dari segi pembinaan ruang sedia ada sebaik menghabiskan anak tangga. Balkoni kecil ini sesuai untuk diletakkan beberapa bingkai gambar kenangan keluarga atau lukisan yang membawa makna serta memberikan semangat dan motivasi setiap hari kerana ia permulaan yang pemilik akan terpandang sebaik bangun tidur dan keluar dari biliknya. Di sudut kecil ini juga sesuai diletakkan hamparan kecil untuk duduk dan santai ketika membaca majalah atau album gambar keluarga. Bagi menaikkan seri ruang, sepasu pokok hiasan dalaman diletakkan di ruang sudut.

Sudut Lobi Kecil Bilik


Gambar: Pintu bilik air di tengah ditutupkan /disalut dengan wallpaper dan kemudian digantungkan gambar pemandangan bagi mewujudkan suasana lobi kecil
Pada dua bilik yang saling bertentangan, ia mewujudkan mood lobi kecil. Namun di sini merupakan pintu bilik air. Bagi menutup pandangan pintu bilik air ini, cadangan diberikan adalah menutup keseluruhan dinding dan pintu dengan wallpaper. Ia meliputi keseluruhan elemen di sekeping dinding ini. Namun begitu pintu bilik air masih boleh dibuka seperti biasa. Ia kelihatan seperti sekeping dinding jika dipandang dari luar namun ia merupakan pintu bilik air pada hakikatnya. Bagi menaikkan seri ruang, bingkai lukisan digantungkan di sini.

Sampai di sini dahulu saya kongsikan tentang rekabentuk hiasan dalaman yang saya rekakan buat pemilik kediaman ini. Insyaallah saya akan berkongsi tentang rekabentuk kediaman jenis yang lain pula. Untuk dapat kan tempahan rekabentuk hiasan dalaman kediaman milik anda sendiri, boleh hubungi saya untuk proses menempah rekabentuk. Yang baik itu semuanya dari Allah dan yang lemah itu datangnya dari saya, selaku penulis dan perekabentuk 3D disini sendiri. Wallahualam

//KHAIRUNNISA HAMZAHARA//
{senibina kehidupan di rumah}

Jemput untuk sertai kelas belajar buat asas blog dan penulisan untuk mendapatkan blog yang berpengaruh dan digemari oleh pembaca di sini:  http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/2013/06/kelas-belajar-asas-membuat-blog-dan.html

Penulis boleh dihubungi di email : khairunnisahamzahara@gmail.com
ATAU whatapps/sms (sahaja) : 0197720507